Malaysia timbang tindak balas jika EU terus diskriminasi minyak sawit | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Malaysia timbang tindak balas jika EU terus diskriminasi minyak sawit

PUTRAJAYA, 20 MAC: Malaysia akan menimbang tindakan balas terhadap Kesatuan Eropah (EU) sekiranya ia meneruskan langkah tidak adilnya terhadap minyak sawit, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju Malaysia perlu mengambil pendekatan lebih agresif dalam perkara ini.

“Malahan, kita telah menulis surat kepada semua ketua kerajaan EU dan memaklumkan kepada mereka bahawa kita mungkin perlu bertindak balas sekiranya mereka meneruskan diskriminasi terhadap minyak sawit,” katanya lapor BERNAMA.


Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah, di sini, semalam.

Dilaporkan pada Jumaat bahawa Malaysia akan menimbang mengambil tindakan balas terhadap eksport Eropah sekiranya EU meneruskan hasratnya untuk melaksanakan Akta Perwakilan (Delegated Act) bagi menghentikan secara berperingkat dan melarang penggunaan sawit dalam biodiesel.

Pada Januari, Perdana Menteri menghantar surat kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron, dengan menyatakan bahawa Malaysia akan menimbang undang-undang untuk mengehadkan produk Perancis sekiranya Paris tidak menarik balik rancangan untuk melarang penggunaan biodiesel sawit.

Pada 19 Disember tahun lalu, penggubal Perancis mengundi untuk menghapuskan minyak sawit daripada skim biofuel negara itu bermula Januari 2020.

Menerusi surat beliau kepada Macron, Dr Mahathir menyatakan bahawa sekiranya Perancis meneruskan cadangannya untuk melarang penggunaan minyak sawit dalam biodiesel, Malaysia terpaksa menangguhkan rundingan perdagangan bebas dengan EU dan mengenakan sekatan yang sama terhadap eksport Perancis.

Cadangan Akta Perwakilan EU itu dijadual dibentangkan di Parlimen Eropah pada April 2019 – adalah tambahan kepada Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU II untuk mengehadkan dan melarang biofuel minyak sawit sama sekali menjelang 2030.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next