NASIONAL

Malaysia tuan rumah Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Seni dan Budaya

PUTRAJAYA, 9 MAC: Malaysia buat julung kalinya akan menganjurkan Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Seni dan Budaya, pada 11 hingga 14 Mac ini, di KL Performing Arts Centre (KL PAC), Kuala Lumpur.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) dalam kenyataan hari ini berkata, persidangan kali kelapan itu bertujuan memberi inspirasi berhubung kesan perubahan global dalam kalangan masyarakat, teknologi, politik, alam sekitar ke atas budaya dan persekitaran kreatif.

“Persidangan ini juga mencari perspektif berbeza bagaimana kerajaan dan pembuat dasar mencari keseimbangan antara permintaan semasa, di samping memelihara budaya dalam arus kemajuan dan transformasi masyarakat,” katanya.

Dianjurkan bersama International Federation of Arts Councils and Culture Agencies (IFACCA) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), MoTAC berkata, persidangan itu bertemakan ‘Minda Mudah Alih: Budaya, Pengetahuan dan Perubahan’.

“Tema ini diilhamkan Malaysia atas dasar negara ini kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi yang unik,” katanya.

MoTAC berkata, lebih 400 peserta dari 70 negara akan menghadiri persidangan itu dengan 93 penceramah akan membentangkan pelbagai isu.

Katanya, pembekal perkhidmatan komunikasi, YTL Communications Sdn Bhd, akan turut menyumbangkan perkhidmatan internet percuma Yes sepanjang tempoh persidangan.

“Sidang Kemuncak ini diharap dapat menemukan idea dan solusi baharu menerusi pandangan dan perkongsian ilmu oleh karyawan, ilmuan, penyelidik, pembuat dasar dan semua yang terbabit dalam sektor seni budaya serta teknologi di seluruh dunia.

“Ia sebagai usaha merancakkan dan memacu sektor industri kreatif di negara kita di peringkat global,” katanya.

Maklumat lanjut persidangan boleh didapati di laman sesawang www.artsummit.org atau melalui laman sosial Facebook World Summit on Arts and Culture. -BERNAMA


Pengarang :