BERITA UTAMASELANGOR

Mangsa ribut bakal terima bantuan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 MAC: Kerajaan Negeri akan menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terbabit dengan kejadian bencana alam, di sekitar Selangor, baru-baru ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bantuan itu bagi meringankan beban mangsa yang terjejas ekoran insiden terbabit.

“Sebelum ini, saya dimaklumkan ribut melanda kawasan Paya Jaras membabitkan kerosakan 300 rumah termasuk 35 pokok tumbang, manakala semalam di sekitar Shah Alam.

“Bantuan segera akan dihulurkan kepada mangsa terbabit bagi meringankan beban mereka ekoran kejadian bencana alam ini,” katanya dalam catatan di Facebook.

Pada masa sama, Amirudin turut menasihatkan orang ramai untuk mengehadkan aktiviti luar dengan mendahulukan keselamatan diri.

Beliau juga meminta orang ramai menghubungi MBSA di talian 1800-88-4477 jika terdapat insiden pokok tumbang berlaku di kawasan mereka.

Terdahulu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima 50 aduan berhubung insiden pokok tumbang di beberapa lokasi, di bandar raya itu setakat 7.15 malam tadi.

Beberapa lokasi dilaporkan terjejas dalam kejadian ribut petir yang berlaku sekitar 5.27 petang, semalam antaranya Dewan Angsana di Jalan Liku 8/1, Seksyen 8 dan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Kondominum Sri Mahligai di Seksyen 9 serta Seksyen 11.

 


Pengarang :