NASIONAL

MAS raih penerbangan terbaik di Asia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MAC: Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia sempena anugerah pelancongan antarabangsa Majlis Antarabangsa Persatuan Penulis Pelancongan Kawasan Pasifik (PATWA) 2019 di Internationale Tourismus-Börse Berlin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Izham Ismail berkata, kejayaan itu adalah hasil dedikasi pekerja syarikat berkenaan yang komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Katanya, pekerjanya memberikan perkhidmatan terbaik di darat dan sepanjang perjalanan penumpang.

“Anugerah ini mengiktiraf beberapa perkembangan positif yang kami lancarkan sejak dua tahun lalu termasuk pesawat baharu, produk dan inovasi digital.

“Ini adalah bukti komitmen kami untuk menawarkan penumpang pengalaman hebat di udara dan di lapangan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, MAS kini sedang mengadakan potongan harga tiket sehingga 20 peratus ke beberapa destinasi terpilih termasuk Hong Kong dan Sydney.


Pengarang :