Selangorkini
NASIONAL

Masalah rangkaian dan harga aduan tertinggi 2018

CYBERJAYA, 29 MAC: Aduan daripada pengguna perkhidmatan komunikasi dan multimedia mengenai rangkaian dan harga adalah antara yang tertinggi bagi 2018, kata Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM).

Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pada tahun lalu aduan tertinggi dicatatkan berkenaan masalah rangkaian yang mencatatkan peningkatan 54 peratus dengan jumlah 1,919 aduan diterima berbanding 1,247, pada 2017.

“Antara isu berkaitan di bawah kategori rangkaian yang paling banyak dilaporkan ialah mengenai gangguan perkhidmatan dan perkhidmatan tidak dapat digunakan.

“Gangguan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) merupakan aduan paling tinggi direkodkan pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

CFM berkata, aduan berkenaan harga pula menunjukkan peningkatan ketara dari segi jumlah aduan diterima pada 2018 iaitu 505 aduan berbanding tahun sebelumnya yang hanya menerima 33 aduan.

“Aduan berkenaan harga meningkat bermula pada September sehingga akhir tahun lalu dan ia merupakan kali pertama kategori aduan ini menjadi lima kategori aduan tertinggi.

“Kami banyak menerima aduan berkenaan isu harga dan peningkatan aduan ini ekoran pakej baharu yang menarik serta kadar harga strategik yang ditawarkan kepada pelanggan baharu, namun pelanggan sedia ada tidak berpuas hati kerana penyedia perkhidmatan menetapkan terma dan syarat yang tidak berpihak kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan bagi mencapai ‘pengurangan harga dan kelajuan berganda’ adalah usaha yang memberi manfaat kepada pengguna namun ia bukanlah inisiatif yang dapat direalisasikan dengan mudah.

“Ia merupakan usaha yang memakan masa dan memerlukan usaha sama daripada pelbagai pihak,” katanya.

Mohamad Yusrizal berkata pada tahun lepas, pihaknya menerima sebanyak 6,330 aduan yang mencatatkan peningkatan 33 peratus berbanding jumlah aduan yang diterima pada 2017 iaitu 4,746 aduan.

“Mengikut rekod CFM, aduan berkenaan perkhidmatan selular kekal paling tinggi dari tahun ke tahun iaitu sebanyak 2,513 aduan pada 2018,”katanya.

Katanya, aduan berkenaan HSBB meningkat paling banyak pada tahun lepas iaitu sebanyak 2,337 aduan diterima berbanding pada 2017 iaitu sebanyak 714 aduan diterima CFM.

Beliau berkata, peningkatan aduan HSBB ekoran permintaan tinggi daripada pengguna yang inginkan perkhidmatan HSBB tersedia di kawasan mereka.

Mohamad Yusrizal berkata, CFM sentiasa bertindak sebagai pemudah cara kepada pengguna dengan berkongsi petua dan panduan untuk menyelesaikan masalah yang sering dihadapi pengguna dalam perkhidmatan telekomunikasi dan multimedia supaya pengguna lebih peka dan tahu untuk mengamalkan kawalan kendiri.

Dalam pada itu, katanya, CFM dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telah menyelesaikan 88 peratus aduan daripada jumlah keseluruhan aduan diterima dalam tempoh kurang daripada 15 hari. –BERNAMA


Pengarang :