BERITA UTAMASELANGOR

Maszlee cabar negeri lain saingi Selangor martabat akademik

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 30 MAC : Dr Maszlee Malik mencabar negeri lain supaya menyaingi Selangor yang sentiasa ke hadapan bagi memartabatkan bidang akademik termasuk mendidik budaya membaca, dalam kalangan masyarakatnya.

Menteri Pendidikan itu berkata, kecemerlangan terbabit dilihat melalui usaha Kerajaan Selangor menjalankan terjemahan karya akademik dari pelbagai tokoh terkemuka serta menerbitkan pelbagai jenis buku.

“Selangor juga beruntung kerana mempunyai perpustakaan yang hebat seperti Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam.

“Justeru, saya melontarkan cabaran kepada negeri lain supaya meletakkan usaha yang sama seperti Selangor untuk memartabatkan bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL) di Putra World Trade Centre (PWTC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussin Qattan dan Pengarang Majlis Buku Kebangsaan Malaysia merangkap Pengerusi 1 Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2019, Abd. Wahab Ibrahim.

Sementara itu, Amirudin ketika diminta mengulas lanjut pujian Maszlee itu berkata, beliau yakin usaha berterusan oleh Kerajaan Selangor untuk menjadi negeri yang konsisten, telah tercapai.

“Kita mahu kemajuan yang dikecapi seimbang dalam pelbagai sudut, dan kerana itulah Kerajaan Negeri berusaha menerbitkan dan menterjemahkan pelbagai jenis buku, dan kita mahu menjadi contoh dalam Malysia.

“Kerana itulah kita yakin Selangor adalah masa depan Malysia dan inilah rupa bentuk negara yang kita mahukan iaitu maju, dinamik dan progressif,” katanya.


Pengarang :