MB: Konvensyen falak semarak program keilmuan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Norway

Wartawan

Sheeda Fathil

MB: Konvensyen falak semarak program keilmuan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 MAC: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memuji inisiatif yang dilaksanakan Jabatan Mufti Selangor dalam menganjurkan Konvensyen Falak Selangor 2019, tahun ini.

Beliau berkata, istilah falak merujuk kepada satu disiplin ilmu yang membahaskan pergerakan dan kedudukan objek samawi seperti matahari, bulan, planet dan bintang.


Katanya, perbincangan ilmu falak menjurus kepada fenomena akibat pergerakan objek terbabit seperti gerhana, ijtimak bulan, matahari dan fasa bulan bagi penentuan waktu.

“Dengan ilmu falak dan teknologi masa kini serta kemahiran fotografi, kita dapat melihat objek langit yang al-Quran bandingkannya sebagai perhiasan dunia sekali gus boleh mengkaji rahsia alam ciptaan Allah SWT.

“Sesungguhnya, penciptaan bintang dan objek langit itu bukanlah sekadar untuk kita perhatikannya sahaja, sebaliknya al-Quran menyuruh kita memerhati, berfikir dan mencari rahsia di sebalik hikmah penciptaan itu

“Dengan hati yang jernih, kita pastinya akan dapat mencerap hikmah penciptaan makhluk Allah di langit dan di bumi, seterusnya membawa kita mengenali penciptanya yakni Allah SWT yang Maha Berkuasa Maha Agung lagi Maha Bijaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penangguhan Konvensyen Falak Selangor 2019 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Sementara itu, Amirudin berkata, bagi membina ummah yang gilang gemilang, ia mestilah berteraskan ilmu pengetahuan.

“Dunia ledakan teknologi hari ini membuatkan kita semakin hari semakin sibuk dengan urusan keduniaan dan sedikit demi sedikit masa yang ada berlalu begitu sahaja tanpa disedari sehingga tiada masa untuk membaca.

“Justeru, program Konvensyen Falak Selangor ini dilaksanakan sebagai salah satu usaha untuk pelajar dan orang ramai mendekati serta memahami isu berkaitan ilmu falak serta penerokaan angkasa sebagai satu langkah menyemarakkan program keilmuan di Selangor,” katanya.

Terdahulu, Konvensyen Falak Selangor 2019 itu adalah program dwi tahunan dan kali ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor, Planetarium Negara dan Persatuan Ahli Falak Selangor.

Antara pengisian konvensyen bertemakan “Menjernih Hati Mencerap Hikmah” itu antaranya program keilmuan khususnya berkaitan ilmu falak meliputi bengkel ilmu falak, pencerapan objek angkasa, pameran, pertandingan dan simposium falak.

Pada masa sama, turut diadakan Pelancaran Buku Aktiviti Kelab Falak Sekolah oleh Amirudin dan penyampaian cenderahati, sijil serta hadiah kepada peserta.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next