BERITA UTAMASELANGOR

MB lancar dua lagi laluan Bas Smart Selangor di Kajang

OLEH NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 1 MAC: Perkhidmatan bas percuma, Bas Smart Selangor diperluaskan dengan tambahan dua lagi laluan baharu di Kajang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Laluan KJ04 dan KJ05 itu turut menghubungkan Kompleks Perhentian Kajang ke Putrajaya.

“Akhirnya Bas Smart Selangor juga sampai ke Putrajaya hari ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Laluan Baru KJ04 dan KJ05 di Kompleks Perhentian Kajang di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan Yang Dipertua MPKj, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar

Katanya, penjawat awam bertugas di Putrajaya dan menetap di Kajang merupakan antara penerima manfaat Laluan KJ04 yang turut menghubungkan 49 hentian.

Antara hentian Laluan KJ04 adalah Klinik Kesihatan Bandar Baru Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asrama UKM, sekolah-sekolah, Perpustakaan Awam, Masjid Putrajaya, Pejabat TNB Bangi dan kawasan penempatan.

Sementara itu Laluan KJ05 pula menghubungkan 25 hentian membabitkan Stesen Keretapi UKM, beberapa Taman Perumahan, sekolah dan Kompleks PKNS.

Sementara itu, Mohd Sayuthi berkata, sehingga Disember 2018 seramai 3.487 juta orang sudah menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor di Kajang.

“Jumlah ini semakin meningkat sekali gus menunjukkan orang awam semakin mempunyai kesedaran memanfaatkan pengangkutan awam secara percuma,” katanya.

 


Pengarang :