SELANGOR

MB pastikan lima tekad Aiman direalisasi

OLEH SHEEDA FATHIL

SEMENYIH, 1 MAC: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari akan memastikan lima tekad yang dijanjikan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali direalisasikan.

Amirudin berkata, beliau berhasrat untuk memenuhi tekad Aiman sekiranya calon itu menang kerusi bagi PRK DUN Semenyih.

“Aiman calon muda, sedang buat PhD, orang tempatan lahir di Semenyih, sekolah di Semenyih, kahwin dengan orang Semenyih jadi dia tahu Semenyih perlukan hospital besar, jalan yang baik dan perlukan Bas Smart Selangor.

“Oleh itu, saya selaku MB komited akan memenuhi semua dijanjikan oleh Saudara Aiman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Grand Finale PRK Semenyih di Vista Valley Semenyih, di sini, hari ini.

Terdahulu, Aiman tampil dengan lima agenda sebagai tekad menjadikan Semenyih lebih maju.

Antara lima tekad Aiman itu adalah Semenyih Lestari, Semenyih Selamat, Semenyih Maju, Semenyih Sihat dan Semenyih Terhubung.

Aiman, 30, bapa kepada seorang anak, kini bertugas sebagai seorang jurutera dan juga Bendahari BERSATU bahagian Hulu Langat.

PRK Semenyih bakal diadakan esok menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PAKATAN), Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas, Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 ekoran serangan jantung, pada 11 Januari lalu.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK masing-masing di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

 


Pengarang :