BERITA UTAMASELANGOR

MB: Pencemaran Taman Eng Ann dijangka selesai dua hari

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Negeri mengarahkan kerja-kerja mitigasi bagi membendung dan membersihkan sisa kimia dia kolam takungan sekitar Taman Eng Ann, Klang dilakukan segera termasuk pemantauan daripada Unit Bencana Negeri Selangor bersama agensi kerajaan yang lain.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor turut terlibat untuk menyelesaikan kes ini dalam tempoh jangkaan dua hari.

“Saya mengarahkan agar tindakan segera diambil untuk kerja-kerja mitigasi membendung dan membersihkan sisa kimia ini dilaksanakan sertamerta bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada penduduk sekitar.

“Saya difahamkan LUAS memulakan proses membendung dan mitigasi pada jam 8 malam semalam (14 Mac). Pagi ini, kontraktor dilantik bagi memulakan proses pembersihan dan dijangka akan mengambil masa dua hari untuk diselesaikan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sepasukan pegawai LUAS telah ke lokasi kejadian semalam selepas dimaklukan mengenai kejadian itu sekitar jam 6.00 petang bagi meneliti keadaan semasa dengan sampel sisa kimia telah diambil dan dihantar ke makmal bagi siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenalpasti pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa kimia ke kawasan kolam takungan ini dan LUAS sudah membuat satu laporan polis ,semalam.

“Saya menasihatkan kepada semua penduduk di sekitar kawasan Taman Eng Ann untuk bertenang dan tidak panik dari kejadian ini.

“Agensi Kerajaan Negeri akan melaksakan proses pembersihan secepat mungkin bagi keselesaan para penduduk,” katanya.


Pengarang :