SELANGOR

MB seru ahli kariah bendung gejala tidak bermoral

SHAH ALAM, 16 MAC: Ahli kariah masjid dan surau di seluruh negeri diseru membantu membendung kegiatan tidak bermoral, di kawasan masing-masing.

Seruan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, ketika merasmikan Konvokesyen Melestarikan Pengurusan Masjid dan Surau Selangor, di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.

“Menjadi golongan yang ikhlas dalam melaksanakan segala amal maaruf dan kebajikan demi menjunjung prinsip yang ditegaskan Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 148 “Fastabiqul khairat” yang memberi maksud “Maka berlumba-lumbalah kamu dalam berbuat kebaikan”.

“Bagi tujuan itu, Jawatankuasa Kariah hendaklah bertanggungjawab dengan kelakuan ahli kariah berhubung agama Islam seperti membendung aktiviti tidak bermoral dan memastikan tiada pelanggaran undang-undang syariah dalam kariah masing-masing,” katanya.

Amirudin turut menggesa supaya institusi masjid dan surau melahirkan “ummatan Wasata”, iaitu umat yang cemerlang tetapi mengamalkan prinsip kesederhanaan dalam kehidupan mereka.

Katanya, institusi masjid dan surau juga perlu membingkai muafakat dalam kalangan ummah selain melahirkan masyarakat yang berpegang teguh kepada dasar akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

“Pegawai masjid juga hendaklah menjauhi sikap ekstrem dalam tindak tanduk, angkuh dan sombong,” katanya.


Pengarang :