SELANGOR

MB tangguh sidang DNS dengan amanat penting

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 MAC: Persidangan (pembukaan) Dewan Negeri Selangor (DNS) 2019 hari ini ditutup dengan beberapa amanat penting yang ditinggalkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Antara amanat terbabit, beliau mahu supaya pensejajaran Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan usaha pengupayaan ekonomi rakyat dan negeri dapat dilaksanakan seperti dirancang.

Amirudin juga mahu semua pihak menolak ekstrimis dalam semua hal termasuk perkauman melampau yang mampu membawa kepada pembunuhan.

Amirudin turut mahu tindakan segera dapat diambil dalam memastikan usaha pemutihan peniaga warga asing di pasar malam dan pasar pagi.

“Antara perkara yang perlu segera diambil tindakan adalah memastikan pemutihan gerai di pasar malam dan pasar pagi daripada penjaja asing yang berleluasa mengakibatkan tiada peluang kepada peniaga tempatan.

“Mereka yang mengalibabakan atau menjual lesen akan disenarai hitam daripada memiliki lesen selepas ini,” katanya.

Amirudin turut mengingatkan supaya jawatankuasa pilihan yang baharu dilantik dapat menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

Katanya, tugas legislatif bukan sekadar membina jambatan atau menghulurkan bantuan kepada pihak memerlukan semata-mata tetapi turut membabitkan tanggungjawab merangka dasar dan undang-undang.


Pengarang :