SELANGOR

MB – Tiada perancangan tawar tukar status tanah

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Kerajaan Negeri belum mempunyai perancangan khusus menawarkan kepada pemilik tanah yang hampir tamat tempoh pajakan untuk menukar status kepada rezab melayu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia sebagai inisiatif menambah keluasan kawasan pegangan tanah rezab melayu.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menggantikan tanah rezab atas penukaran status rezab melayu dengan saiz dan nilai sepadan dengan penukaran status tanah terbabit.

“Bukan hanya keluasan tanah, tetapi kita juga mengambil nilai semasa tanah supaya rezab melayu kita tidak berkurangan.

“Saban tahun kita menggantikan lebih daripada segi keluasan rezab melayu yang digunakan untuk pembangunan. Sehingga Disember tahun lalu, keluasan rezab melayu ialah pada 406042.19 ekar, manakala keluasan sedia ada masih dalam keadaan terkawal dan dipantau secara rapi oleh Pentadbir Tanah dan Galian Selangor (PTGS).

“Pemantauan dibuat melalui pemakaian pekeliling Bil. 7/2001 mengenai dasar dan garis panduan pembatalan serta penggantian tanah rezab melayu termasuk Pekeliling PTGS Bil. 3/2015 mengenai garis panduan urus pembatalan dan penggantian tanah rezab melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mazwan Johar, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Malah, katanya, usaha berkenaan mendapat pengiktirafan Kerajaan Pusat melalui sijil penghargaan amalan terbaik pengumpulan data tanah rezab melayu yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada Mesyuarat Majlis Tanah Negara, 3 Disember lalu.

Amirudin berkata, tanah dimiliki orang melayu yang tidak terletak di kawasan tanah rezab melayu boleh mendapat insentif berkenaan dengan membuat permohonan menukar status milik mereka kepada tanah rezab pegangan melayu.

“Proses ini perlu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri untuk tanah milik mereka diisytiharkan sebagai tanah rezab melayu selaras dengan peruntukan Seksyen 3 Enakmen Rezab Melayu (ERM) Bab 142 ERM 1933.

“Antara insentif ditawarkan ialah mengurangkan kadar premium, caruman parit dan caruman kubur sebanyak 50 peratus serta premium tambahan dikenakan sebanyak 12.5 peratus daripada kadar asal ke atas kelulusan tanah,” katanya.


Pengarang :