SELANGOR

MB tolak dakwaan kerajaan pinggir Islam

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 16 MAC: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, menolak dakwaan bahawa kerajaan ketika ini tidak mempedulikan masyarakat beragama Islam.

Sebaliknya, beliau berkata, fitnah yang dilemparkan itu hanya bertujuan untuk mengecam kerajaan di era Malaysia baharu ini.

“Bila ada yang menghina Nabi Muhammad SAW, kata kita tidak ambil tindakan, sedangkan kerajaan mengambil tindakan pantas menahan suspek tidak sampai seminggu.

“Manakala, dakwaan di mahkamah pula diambil tidak sampai tiga minggu, namun fakta palsu pula bertebaran mengatakan kita dikawal oleh bukan Islam sehingga lupa peranan sebagai umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Santai Dato’ Menteri Besar bersama penduduk dan penyerahan IPR di Dewan MPKK, Kampung Melayu Batu Caves, di sini, semalam.

Amirudin berkata, kerajaan bukan sahaja prihatin terhadap rakyatnya, malah mengekalkan pentadbiran bersih dan berintegriti.

“Kita tidak mahu ulang kisah pentadbiran lepas yang jelas terbukti dengan puluhan kes di mahkamah.

“Dakwaan itu sedang dibuat, namun pihak didakwa sedang cuba menangguhkannya dengan pelbagai cara, kita tidak kejam dan mengikut prosedur,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat membuka mata dan melihat perkara positif yang dilaksanakan serta mendapatkan maklumat sahih sebelum mengeluarkan sebarang bentuk kecaman.

“Rakyat juga perlu tahu mengawal penggunaan teknologi masa kini supaya tidak memudaratkan diri sendiri,” katanya.

Pada 5 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis sudah menerima 929 laporan berhubung kes penghinaan terhadap Islam, Nabi Muhammad serta isteri baginda, Saidatina Aisyah, di seluruh negara.

 


Pengarang :