SELANGOR

MB ucap tahniah kepada johan qari Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 MAC: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan tahniah kepada Johan Qari Tilawah Al Quran, Abdul Khair Jalil.

Menerusi posting beliau di lama Twitter, Amirudin turut berkongsi kegembiraan apabila Selangor turut dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Tilawah Al Quran, pada kali ini.

“Tahniah diucapkan kepada saudara Abdul Khair Jalil, Qari dari Selangor yang telah menerima Anugerah Johan Qari Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan ke 62.

“Selangor juga telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Tilawah Al Quran kali ini. Alhamdulillah syabas,” tulisnya.

Terdahulu, Abdul Khair berjaya mengumpul pungutan markah keseluruhan tertinggi iaitu 89.68 peratus sekali gus melayakkan beliau menerima Johan Qari.

Beliau menerima wang tunai RM15,000, tambahan tunai RM10,000 untuk menunaikan ibadah haji, cenderamata dan sijil penyertaan serta hadiah sumbangan daripada kerajaan Negeri Sembilan berupa simpanan emas bernilai RM1,400.

Penyampaian hadiah kepada pemenang kategori lelaki disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir di Dewan Majlis Perbandaran Seremban.

Sementara itu, bagi kategori wanita, tempat kedua menjadi milik qariah Selangor, Nor Faizah Panut dengan pungutan markah 86.34 peratus, manakala Johan hafazan juzuk 1-20 dimenangi hafiz Selangor, Ahmad Adil Luqman Ismail (97.63 peratus).

Majlis yang bermula 17 Mac lalu menghimpunkan 28 peserta bagi tilawah al-Quran, melibatkan 14 qari dan 14 qariah, serta 79 peserta bagi kategori hafazan.

FOTO EHSAN: BERNAMA


Pengarang :