SELANGOR

MBPJ lancar PJ Smart Centre

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 15 MAC: Selaras dengan usaha Kerajaan Negeri membangunkan Smart Selangor yang peduli, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil satu langkah terkedepan dengan memulakan projek PJ Smart City dan membangunkan PJ Smart Centre ke arah menggalakkan perkembangan ‘Knowledge Economy’.

Datuk Bandarnya, Mohd Azizi Mohd Zain berkata, ia dilaksanakan melalui pembangunan Infrastruktur Pintar (Smart Infrastructure), Membangun Smart People dan mewujudkan Kerajaan Pintar (Smart Government).

Katanya, PJ Smart Centre merupakan pusat data MBPJ bagi mengurus dan memantau bandar raya Petaling Jaya dengan lebih cekap melalui landasan penyimpanan dan pemprosesan data bersepadu dengan menggunakan data-data digitalnya yang dianalisisa secara ‘Automated’.

“Ia juga merupakan lambang ke arah pengurusan data yang sistematik.

“Fungsi PJ Smart Centre dalam menghasilkan pelaporan bagi setiap papan pemuka (dashboard) yang dibangunkan di mini smart centre dalam membantu MBPJ membuat sesuatu keputusan dalam perancangan dan pengurusan bandar raya Petaling Jaya.

“Data yang dihasilkan di mini smart centre akan dipaparkan dan dipantau pusat data PJ Smart Centre,” katanya pada pelancaran PJ Smart Centre, semalam.

Mohd Azizi berkata, MBPJ sebelum ini membangunkan sebanyak tiga mini smart centre yang mula beroperasi di Jabatan Perancangan Pembangunan, Penguatkuasa dan Unit Komunikasi Korporat (Seksyen Aduan Awam).

“MBPJ turut bercadang untuk membangunkan 10 mini smart centre lagi di lain-lain jabatan pada tahun ini.

“Ia bagi memastikan penduduk Petaling Jaya menyokong dan turut terbabit dalam pelaksanaan PJ Smart City, MBPJ bercadang membangunkan mini smart centre di kawasan-kawasan kejiranan sekitar Petaling Jaya,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pelaksanaan Projek PJ Smart City merupakan penyelesaian bersepadu ‘Integrated Solution’ menggunakan landasan Sistem Maklumat Geografi (GIS)’ sebagai asas pembangunan aplikasi dalam mengurus bandar raya Petaling Jaya secara pintar, mampan dan berdaya tahan.

Beliau berkata, sebanyak 64 dashboard dibangunkan yang merangkumi lima sektor utama perkhidmatan MBPJ.

“Antaranya, Perancangan dan Pembangunan Bandar (City Planning & Development), Pembangunan Komuniti Bandar (City Community Development), Perniagaan Bandar (City Business), Pengurusan Bandar & Penguatkuasaan (City Management & Enforcement) dan Perkhidmatan Bandar Raya (City Town Services),” katanya.

 


Pengarang :