SELANGOR

MBSA E johan sepak takraw piala datuk bandar

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 18 MAC: Pasukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) E muncul juara dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Shah Alam 2019 yang berlangsung pada 15 hingga 17 Mac lalu.

Pasukan itu menewaskan pasukan MARA dengan set 21-18, 16-21 dan 21-17 pada pusingan akhir, sekali gus menjadikan pasukan MARA sebagai naib johan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pasukan MBSA E membawa pulang wang tunai RM4,000 bersama piala iringan dan medal.

“Pasukan MARA pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 bersama piala iringan dan medal.

“Manakala tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh pasukan MBSA D dan pasukan WCT dengan membawa pulang wang tunai RM1000 bersama piala iringan dan medal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd Rashidi Ruslan.

Pada masa sama, Shahrin berkata, kejohanan itu merupakan landasan mencungkil bakat baru sekali gus melahirkan atlet berkualiti dan berdaya saing.

“Program ini juga dapat mempromosikan MBSA sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang prihatin tentang aktiviti sukan,” katanya.

Kejohanan yang julung kali diadakan itu, disertai 32 regu dan diadakan di Dewan MBSA Seksyen 19 serta Dewan Dahlia Seksyen 24.


Pengarang :