PBTSELANGOR

MBSA pecah 6 tanjakan haram

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memecahkan enam binaan tanjakan haram, di 14 premis yang didapati membuat sambungan simen daripada bahagian tempat letak kereta dengan lantai bangunan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya turut mengeluarkan enam kompaun dan lima notis atas kesalahan itu.

Katanya, binaan itu adalah satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133).

“Kami memohon supaya pemilik premis yang ingin menggunakan tempat letak kereta bagi tujuan perniagaan supaya membuat permohonan sewaan petak khas terlebih dahulu.

“Tindakan tegas termasuk memecahkan tanjakan dan kompaun akan dikenakan kepada pemilik ingkar dan membina tanjakan haram di hadapan premis mereka,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, MBSA mengadakan operasi tergempar ke lokasi Jalan Pahat 15 H, Seksyen 15 dan Jalan Kemuning Prima F, Seksyen 33 Shah Alam.

Sebarang pertanyaan berkenaan sewaan petak letak kereta khas, sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1477, 1657 dan 1658,” katanya.


Pengarang :