SELANGOR

MBSA terima kunjungan delegasi Kota Mataram

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima lawatan dari Delegasi Pemerintah Kota Mataram, Indonesia, pada 9 Mac lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, seramai 18 delegasi dari Kota Mataram turut sama menyertai lawatan itu yang diketuai Wali Kota Mataram, Ahyar Abduh Abdul Hanan.

Katanya, lawatan julung kali itu disusuli dengan Majlis Menandatangani Surat Hasrat Kerjasama antara MBSA dan Pemerintah Kota Mataram.

“Kerjasama ini menyaksikan jalinan yang dipersetujui kedua pihak dalam bentuk pertukaran ilmu dan kepakaran, penyelidikan serta aktiviti yang merangkumi bidang seperti Tadbir Urus, Perancangan Bandar, Pembangunan Sumber Manusia, Pelancongan dan Kebudayaan.

“Kerjasama dua hala ini bukan sahaja dapat memperkasakan hubungan dua bandar, tetapi ia antara inisiatif MBSA menjadikan Shah Alam sebuah bandar raya bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, pertemuan dan perbincangan di MBSA itu dipengerusikan Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd Rashidi dan turut disertai Pengarah Jabatan MBSA antaranya Jabatan Pelesenan, Jabatan Khidmat Pengurusan, Jabatan Pembangunan Komuniti, Jabatan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Perancangan.

Sebelum ini, MBSA juga sering menerima kunjungan daripada delegasi antarabangsa, Pihak Berkuasa Tempatan, agensi dan jabatan bagi mendapatkan maklumat berhubung perkhidmatan yang ada serta penambahbaikan dilaksanakan pihaknya.


Pengarang :