MDHS sita kilang kitar semula plastik tanpa lesen | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Norway

Wartawan

Afix Redzuan

MDHS sita kilang kitar semula plastik tanpa lesen

HULU SELANGOR, 14 MAC: Sebuah kilang kitar semula plastik import di Kawasan Perindustrian Zuhrah, disita Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) kerana beroperasi tanpa lesen.

Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata, pengusaha kilang terbabit masih belum mendapatkan sokongan daripada Jabatan Alam Skitar untuk menjalankan operasi setelah gagal mengemukakan laporan Kajian Impak Alam Sekitar seperti yang diperlukan.

“Hasil pemantauan MDHS mendapati kilang ini masih meneruskan operasi walaupun notis memberhentikan aktiviti perniagaan dikeluarkan Jabatan Penguatkuasaan, pada 17 Januari lalu.


“Tindakan penyitaan dilakukan hari ini ekoran kegagalan syarikat terbabit mematuhi peraturan untuk memberhentikan aktiviti perniagaan.

“Tindakan ini tertakluk di bawah Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil Prelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007, yang membolehkan pihak berkuasa tempatan menyita apa-apa barang boleh alih yang berkaitan dengan kesalahan yang dilakukan di lokasi yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi selama satu jam, di kilang terbabit, di sini, hari ini.

Ketika operasi dijalankan, tiada wakil syarikat berada di kawasan berkenaan dan hanya terdapat hasil pemprosesan plastik, mesin serta jentera.

Turut serta dalam operasi itu ialah EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian dan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong.

Dalam operasi itu, MDHS terpaksa memecahkan pintu utama pejabat yang dikunci bagi menyita beberapa aset milik kilang terbabit, iaitu empat buah fork-lift, komputer CCTV (satu unit), tiga walkie-talkie dan satu unit tong gas serta kipas.

Turut dirampas water jet (satu unit), pemecah konkrit (satu unit), gergaji rantai (satu unit), pemotong besi (satu unit), pemotong (tiga unit) serta dua unit troli hidraulik.

Shukri berkata, pengusaha mempunyai tempoh sebulan untuk menuntut semua barangan dengan syarat memindahkan operasi dari Hulu Selangor dan jika gagal, tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil secepat mungkin.

“Jika ada ruang, kita juga akan mengambil tindakan terhadap syarikat yang menyewakan premis ini.

“Jika disabitkan kesalahan, pengusaha boleh dikenakan denda RM500,000 serta penjara,” katanya.

Secara keseluruhan, terdapat hampir 10 kilang mengusahakan aktiviti kitar semula plastik dengan empat daripadanya mempunyai lesen import, di sekitar daerah Hulu Selangor.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next