PBTSELANGOR

MDKL sita 3 premis abai kebersihan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 6 MAC: Sebanyak tiga premis makanan disita Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) ekoran keadaan menjijikkan dan tidak mematuhi peraturan ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan itu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Yasin Alwi berkata, sebanyak dua premis menjual makanan disita di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 dan satu lagi di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat.

Katanya, terdapat juga peniaga dikenakan tindakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MDKL) 2007 kerana membuang cecair kotor ke dalam longkang dan satu notis pemberitahuan berkenaan alat perangkap minyak.

“Selain aktiviti rutin, tujuan pemeriksaan adalah bagi memastikan kebersihan premis menjual makanan berada pada tahap baik, keselamatan terjamin, memberikan penarafan dan pengiktirafan premis makanan mengikut tahap kebersihan.

“Selain itu, ia untuk mempertingkatkan tahap kebersihan sesebuah premis, mengurangkan kadar insiden penyakit bawaan makanan dan air, memberi pengetahuan serta kesedaran pengusaha juga pengendali premis terhadap kebersihan selain keselamatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, pemeriksaan disertai Jabatan Imigresen Malaysia itu turut menahan enam warga asing kerana tidak memiliki pas sah di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut mengeluarkan satu kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipercatuan Peraturan 3 (1) Penandaan Harga oleh Peniaga Runcit (PHOPR) 1993 kerana tidak mempamerkan tanda harga makanan.

“Secara keseluruhannya, kita mengeluarkan 12 notis kesalahan iaitu enam notis di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Penjaja, tiga notis di bawah Seksyen 46 (1)(a), Akta 133 dan tiga notis di bawah Seksyen 46 (1)(d), Akta 133.

“Manakala, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat mengeluarkan 23 notis kesalahan dan KPDNHEP satu kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipercatuan Peraturan 3 (1) Penandaan Harga oleh Peniaga Runcit (PHOPR) 1993,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Terdahulu, seramai 41 penguat kuasa dari pelbagai agensi digerakkan bagi melakukan pemeriksaan mengejut ke atas 14 premis perniagaan antaranya restoran, kedai makan dan restoran makanan segera, pada 28 Februari lalu.

Pemeriksaan yang bermula jam 6 petang hingga 12 malam itu turut disertai Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat, Jabatan Imigresen Malaysia dan KPDNHEP.


Pengarang :