BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MDM Bikers Club sedia riuhkan Retromania Grand Gathering 2019

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

MARANG, 27 MAC: Bagi mewujudkan ikatan persahabatan atas minat sama dalam dunia permotoran, Majlis Daerah Marang (MDM) Bikers Club menyatakan kesediaan penuh menjayakan Retromania Grand Gathering 2019 (RGG19), pada 13 dan 14 April ini.

Presidennya, Mohd Saffian Draman berkata, kesemua ahli kelab motosikal berkenaan juga menyambut baik pelawaan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bagi menggegarkan acara gah yang akan berlangsung di Dataran Pantai Morib itu.

“Kami begitu teruja untuk menyertai acara tahunan yang akan mengumpulkan semua peminat motosikal dari seluruh negara ini, selain menyokong inisiatif MDKL terhadap penganjuran RGG19.

“Paling penting, acara seperti ini boleh mengeratkan lagi hubungan sesama penunggang motosikal berkuasa tinggi,” katanya ketika ditemui media selepas sesi penyerahan bahan promosi RGG19, di Bilik Mesyuarat MDM, di sini, semalam.

Penyerahan bahan promosi berbentuk sijil dan plug itu diserahkan Yang Dipertua MDKL, Mohd Zain A Hamid kepada Yang Dipertua MDM, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.

Antara bahan promosi lain turut diserahkan ialah cakera padat (CD), poster, risalah dan gegantung sebagai saluran hebahan kepada umum.

Sejak ditubuhkan sekitar penghujung tahun lalu, kelab motosikal berkenaan dianggotai kira-kira 35 orang terdiri daripada kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan terbabit.

Pada masa sama, Saffian memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan menghidupkan MDM Bikers Club dengan mengadakan pelbagai bentuk program santai dan konvoi, khusus bagi meraikan peminat motosikal.

“Awal tahun ini kita mengadakan aktiviti BBQ bersama ahli kelab sesuai dengan agenda untuk sentiasa memastikan kelab ini aktif.

“Di samping akan menjayakan RGG19 itu nanti, kita turut mengadakan jelajah konvoi motosikal ke Port Dickson, pada 1 Mei ini,” katanya.

 


Pengarang :