PBTSELANGOR

Media bantu MBPJ sebar maklumat lebih tepat

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 14 MAC: Media cetak dan elektronik adalah medium pengantara terbaik bagi menyebarkan maklumat lebih tepat berkenaan perkhidmatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kepada masyarakat.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, sebaran maklumat tepat dan jelas dapat meningkatkan lagi kefahaman warga Petaling selaras kehendak dan jangkaan mereka.

“Sepanjang 2018, MBPJ menerima 1,891 liputan media bagi program, operasi dan perkhidmatan majlis.

“Oleh itu, saya berharap kerjasama ini terus diperkukuhkan, semoga penggiat media dan MBPJ dapat bertukar-tukar fikiran serta mengembangkan idea bagi mengenal pasti pendekatan lebih berkesan dalam usaha kami berdepan dengan cabaran pada masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian Majlis Apresiasi Media MBPJ di Dewan Sivik, semalam.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar, Johary Anuar; Timbalan Setiausaha MBPJ, Sharipah Marhaini Syed Ali dan Pengarah Unit Komunikasi Korporat, Haniza Abdul Hamid.

Hadir sama, 300 pengamal media termasuk SelangorKini; TV Selangor; Sinar Harian; The Star; Harian Metro; NTV7; TV3 dan Berita Harian.

Mohd Azizi berkata, anugerah terbabit diberi berdasarkan kualiti dan impak positif laporan berita.

“Semoga kejayaan rakan-rakan media memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada rakan lain untuk terus menulis dan menerbitkan artikel,” katanya.

Pada majlis itu, 17 wartawan diberi penghargaan melalui Anugerah Media Cetak, Anugerah Media Elektronik dan Digital serta Anugerah Penghargaan Liputan Berita.

Wartawan SelangorKini, Norhayati Umor menggondol Anugerah Media Cetak dan membawa pulang wang tunai RM500 berserta sijil.

 


Pengarang :