BERITA UTAMASELANGOR

Meloyakan, kilang haram proses bulu ayam disita

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 27 MAC: Busuk dan meloyakan, itulah yang terpaksa dihadapi kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan pengamal media dalam operasi serbuan kilang haram memproses bulu ayam, di Pulau Indah, hari ini.

Serbuan mendapati kilang terbabit meletakkan longgokan bulu ayam di hadapan pintu utama dan lebih menjijikkan apabila kawasan lantai dipenuhi darah ayam sehingga menimbulkan bau busuk yang boleh dihidu dari jarak 500 meter.

Gara-gara bau yang meloyakan, rata-rata yang menyertai operasi itu hampir muntah.

Salah seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Neng berkata, kesemua bulu ayam itu akan diproses menjadi baja khususnya untuk tanaman padi.

Warganegara Indonesia itu mengakui terpaksa bertahan dengan bau busuk kerana hanya kerja terbabit yang mampu dilakukannya, di negara ini.

“Saya sudah kerja di sini hampir lima tahun, sudah biasa dengan bau busuk ini. Habis semua baju memang berbau, kalau hendak basuh baju, rendam berhari-hari baru bau akan hilang,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu, serbuan dilakukan setelah Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin, terhidu bau busuk yang agak kuat ketika membuat pemeriksaan di beberapa buah kilang haram, di sekitar Bandar Armada Putera.

Terkilan dengan situasi itu, Mohd Yasid nyata kecewa apabila melihat tahap kebersihan di kilang haram terbabit yang amat mendukacitakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan beroperasi tanpa lesen dan oleh itu kita mengeluarkan arahan sita serta operasi dihentikan serta merta.

“Kompaun juga dikeluarkan mengikut Undang-Undang Akta Kerajaan Tempatan kerana gagal mengawal bau pencemaran,” katanya.


Pengarang :