Wisma Putra sentiasa memantau keadaan rakyat Malaysia di Queensland.
NASIONAL

Menteri Luar Malaysia, Belanda bakal bincang MH17 esok

PUTRAJAYA, 27 MAC: Menteri Luar Malaysia dan Belanda yang akan bertemu, di sini esok, bakal membincangkan insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh, pada 17 Julai 2014.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, Menteri Luar Belanda, Stef Blok, akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Malaysia dan beliau dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, selain MH17, kedua-dua menteri dijangka membincangkan pelbagai isu berkenaan kepentingan bersama termasuk minyak sawit, Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU), ASEAN dan Brexit.

“Lawatan ini dijangka dapat mengukuhkan lagi ikatan persahabatan dan mencerminkan hubungan jangka panjang antara Malaysia dan Belanda,” kata Wisma Putra.

Pesawat MAS itu yang dalam penerbangan dari Armsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh, di ruang udara timur Ukraine dan mengorbankan kesemua 298 penumpang serta anak kapal.

Pada masa sama, Wisma Putra memaklumkan, Malaysia dan Belanda juga menyasarkan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang baharu.

Pada 2018, jumlah perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan Belanda masing-masing pada RM32.57bilion (US$7.82 bilion) dan RM8.4bilion (US$2.06 bilion). -BERNAMA


Pengarang :