NASIONAL

Merit dan kebolehan faktor lonjak penyertaan wanita

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Merit dan kebolehan adalah faktor penting bagi menentukan matlamat akhir dasar 30 peratus penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan dalam sesebuah organisasi tercapai.

Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, dasar 30 peratus itu bukan kuota tetapi hanya sasaran yang mesti dipenuhi.

“Kita membuat sasaran ini sebagai panduan kepada pembuat dasar supaya tidak terlupa. Bila adanya sasaran 30 peratus, maka mereka perlu mencari.

“Selain itu, wanita juga perlu mendapat peluang yang sama untuk memajukan diri dan manfaat daripada pembangunan,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Wanita; Seimbang Untuk Sejahtera’, di Bernama News Channel, di sini malam tadi.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud pula berkata, keseimbangan juga perlu dititikberatkan kerana ketidakadilan masih berlaku dalam memberi peranan kepada wanita.

Katanya, sebilangan anggota masyarakat masih dengan pemikiran lama iaitu tugas wanita adalah di rumah menjaga anak dan sebagainya.

“Apabila wanita mempunyai kerjaya, mereka seolah-olah harus memilih antara kerjaya atau keluarga.

“Sebagai manusia, kita mempunyai kekuatan dan kelemahan, jadi kita seharusnya memberikan keyakinan kepada wanita.

“Seperti lelaki, wanita juga harus menumpukan perhatian yang penuh kepada kehidupan,” katanya.-BERNAMA


Pengarang :