SELANGOR

MPSJ gempur premis warga asing

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 15 MAC: Tujuh premis makanan tempatan diarahkan tutup selepas melanggar syarat undang-undang pelesenan dalam serbuan operasi bersepadu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Serdang Perdana, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Pelesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, tujuh premis berkenaan melakukan pelbagai kesalahan termasuk keadaan premis yang kotor serta terdapat haiwan perosak.

Malah, katanya, sebahagian pemilik premis itu turut menyewakan dan menggajikan premis mereka kepada warga asing.

“Dalam operasi bermula kira-kira jam 9 malam sehingga 2 pagi itu mendapati, premis makanan itu melanggar syarat undang-undang pelesenan dengan menggajikan pekerja warga asing secara haram selain keadaan premis yang kotor.

“Terdapat juga, pasangan suami atau isteri kepada warga asing berkenaan adalah warga tempatan yang memiliki lesen,” katanya.

Muhammad Azli berkata, tindakan penutupan premis itu dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan MPSJ 2007.

Pada masa sama, katanya, fokus utama operasi itu dijalankan adalah mengesan dan mengambil tindakan tegas kepada perniagaan yang diuruskan warga asing.

“Untuk rekod, setakat Januari hingga Februari, sebanyak 300 operasi dijalankan MBPJ membabitkan tindakan kepada peniaga yang menggajikan warga asing tanpa permit yang sah dan lain-lain kesalahan,” katanya.


Pengarang :