SELANGOR

MPSJ perkenal garis panduan perlesenan eSport

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 5 MAC: Majlis Perbadaran Subang Jaya (MPSJ) mengorak langkah ke hadapan dengan memperkenalkan garis panduan perlesenan sukan elektronik atau eSport di pusat siber dan kafe siber serta permainan digital secara atas talian.

Pengarah Jabatan Perlesenannya, Muhammad Azli Miswan berkata, perniagaan berkonsepkan eSport ini semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti MPSJ tetapi perlu dikawal dengan peruntukkan undang-undang serta dilesenkan.

“Sehingga kini, tiada garis panduan jelas menyebabkan pengusaha eSport tidak dapat menjalankan perniagaan. Tindakan penguatkuasaan diambil akan menjejaskan aktiviti eSport.

“Untuk memastikan aktiviti eSport dapat dilaksanakan oleh pengusaha dan dilesenkan dengan tatacara perlesenan yang jelas, MPSJ melalui Jabatan Perlesenan telah menyediakan Garis Panduan Perlesenan Sukan Elektronik (eSport) di Pusat Siber dan Kafe Siber Serta Permainan Digital Secara Atas Talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat di The Pantheon, The Square One City, di sini hari ini.

Hadir sama EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkarnain Che Ali dan Pengarah Kumpulan The Panthom, Clement Hui.

Katanya, MPSJ merangka garis panduan bersesuaian sejak 2017 dan merujuk kepada empat punca kuasa sedia ada iaitu Seksyen 107, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Undang-Undang Kecil Pusat Kafe Siber Dan Kafe Cyber (MPSJ-2013), Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1995 dan Peraturan-Peraturan Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan (Permainan Snuker Dan Video) (Kawalan Dan Penyeliaan) (Selangor) 1996.

Setakat ini, MPSJ melesenkan aktiviti eSport ini kepada dua premis iaitu INNO Ignition Sdn Bhd – The Pantheon, The Square One City dan Future Games Sdn Bhd, Sunway, Subang Jaya.

Muhammad Azli berkata, garis panduan ini juga merupakan langkah awal MPSJ melesenkan aktiviti eSport lain seperti pusat siber, permainan video (PS4), permainan realiti maya (virtual reality) dan permainan simulasi.

Di samping itu, MPSJ juga mahu meningkatkan hasil pendapatan perlesenan dengan mewujudkan suasana komersil mesra perniagaan selain melahirkan bakat sukan digital masa hadapan menerusi aktivit sukan sihat.

The Pantheon merupakan pusat permainan eSport pertama yang memperoleh Nvidia Platinum GeForce Icafe di Malaysia dan mampu memuatkan 1,000 orang dalam satu masa.

Menempatkan tujuh bahagian permainan, The Pantheon juga kini sedang menyiapkan pusat eSport di Cyberjaya dan Johor Bharu.


Pengarang :