Selangorkini
NASIONAL

MRT: Penutupan lorong Jalan Kuala Selangor dilanjutkan

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Penutupan tiga lorong sepanjang Jalan Kuala Selangor arah Sungai Buloh dan arah Kepong dilanjutkan bermula 23 Mac sehingga 22 April ini.

MMC-Gamuda dalam kenyataan hari ini berkata, penutupan itu bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan tiang, pelancaran kekotak segmen (SBG) dan sebarang kerja berkaitan pembinaan MRT.

“Penutupan lorong itu akan dibuat secara berkala dan melibatkan tiga lorong yang dibahagikan kepada Penutupan A, Penutupan B dan Penutupan C,” katanya.

Penutupan A membabitkan lorong paling kiri Jalan Kuala Selangor (arah Sungai buloh) di KM47 sebelum masuk ke Sierramas; lorong paling kiri Jalan Kuala Selangor (arah Sungai Buloh) selepas susur masuk ke Seirramas sepanjang 100 meter; lorong kiri di susur naik menghala ke Sierramas sepanjang 100 meter; lorong kiri menghala ke Tol Sungai Buloh sepanjang 100 meter dan lorong kiri di susur masuk ke Sierramas dan Sekolah Antarabangsa IGB (arah Kepong) sepanjang 100 meter.

Penutupan Lorong B membabitkan lorong kanan menghala Tol Sungai Buloh sepanjang 100 meter.

“Penutupan A dan B adalah 24 jam, bagaimanapun semasa penutupan B, lorong kiri menghala ke Tol Sungai Buloh tidak akan ditutup,” kata kenyataan itu.

Penutupan C pula bermula jam 10 malam hingga 6 pagi membabitkan sebahagian lorong kiri selepas Tol Sungai Buloh sebelum meneruskan perjalanan di Jalan Kuala Selangor (arah Sungai Buloh) sepanjang 80 meter.

Turut ditutup ialah sebahagian lorong kanan selepas Tol Sungai Buloh sebelum meneruskan perjalanan di Jalan Kuala Selangor sepanjang 80 meter; sebahagian lorong kanan di susur jalan ke Sierramas sepanjang 50 meter dan sebahagian lorong kiri di susur jalan ke Sierramas sepanjang 50 meter.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi arahan papan tanda trafik dan pengawal bendera yang bertugas,” katanya.

Syarikat itu turut mengumumkan penutupan separa lorong secara berperingkat setiap 30 meter di Jalan Kampung Batu dan Jalan Kepong Lama selama dua bulan enam hari, bermula 25 Mac sehingga 31 Mei, dari 9 malam sehingga 6 pagi.

Menurut kenyataan itu, semasa penutupan di Jalan Kampung Batu, pengguna yang menuju ke Jalan Ipoh dari arah Kuala Lumpur melalui Jalan Kampung Batu masih boleh menggunakan separa lorong sedia ada.

Semasa penutupan lorong di Jalan Kepong Lama, pemandu ke Jalan Kepong dari arah Kuala Lumpur melalui Jalan Kepong Lama masih boleh menggunakan separa lorong yang sedia ada.

“Tujuan penutupan ialah untuk kerja-kerja pemindahan utiliti dan kerja-kerja lain yang berkaitan,” demikian menurut kenyataan itu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :