SUKANKINI

MSL: JDT menang 2-4, Selangor kemarau kemenangan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 MAC: Selangor terus kempunan untuk melakar kemenangan pertama Unifi Liga Super 2019 apabila tewas 2-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam yang dihadiri 21,616 penonton.

Tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang JDT menerusi sepakan percuma pemain import baharu, Sandro Da Silva pada minit kelima tetapi sekadar singgah ke palang gol.

Seminit kemudian JDT mendahului perlawanan 0-1 menerusi Velazquez Leandro hasil umpaman Diogo Luis Santo.

Belum sempat Selangor mengatur rentak, JDT menjadikan kedudukan 0-2 menerusi Diogo yang berjaya menolak masuk bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol hasil rembatan awal Velazquez.

Nurridzuan hampir merapatkan kedudukan buat Selangor pada minit ke-27 tetapi tandukkannya hasil lambungan Faiz Nasir sekadar terkena palang.

Usaha keras Selangor akhirnya menjelmakan jaringan pertama bagi kedudukan 1-2 hasil rembatan luar kotak penalti Endrick Dos Santos pada minit ke-32.

10 minit kemudian, Gonzalo Cabrera menjadikan kedudukan 1-3 buat JDT apabila tenang membolosi gawang Selangor selepas melepasi perangkap offside.

Rufino Segovia kembali menceriakan penyokong The Red Giants dengan tandukan padu yang menerjah gawang dikawal Farizal Marlias bagi kedudukan separuh masa pertama 2-3.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan beraksi lebih berhati-hati bagi mengelakkan kesilapan terutama di bahagian pertahanan.

Selepas sejam perlawanan, Velazquez terus cemerlang dengan gol kedua peribadi pada minit ke-68 bagi memastikan JDT selesa mendahului 2-4 selepas menampan bola yang gagal ditepis kemas penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid hasil rembatan awal Gonzalo Cabrera.

Rufino sekali lagi hampir menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-82 tetapi tandukannya tidak menepati sasaran.


Pengarang :