SELANGOR

MSU lancar MESp perkasa kelestarian alam

OLEH UMIRAH IZRIN

SHAH ALAM, 20 MAC: Management And Science University (MSU) melancarkan program MSU Environment Sustainability Project (MESp) bertujuan memperkasakan kelestarian alam sekitar, di sini, semalam.

Presidennya, Professor Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Ab. Yajid berkata, program bertemakan ‘Nature Appreciation’ itu adalah kolaborasi bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat.

Katanya, antara lain program itu juga bertujuan menyokong agenda global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sekali gus membangun kualiti alam sekitar.

“Program ini adalah strategi jangka masa panjang yang memberi kesedaran meluas kepada mahasiswa dan masyarakat demi masa depan negara.

“Justeru, penglibatan masyarakat dan warga MSU perlu bagi memenuhi objektif global Matlamat Pembangunan Lestari.

“Melalui program ini, ia dapat mendidik mahasiswa dan masyarakat untuk menjaga alam sekitar serta memberi manfaat besar pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui pada program MSU Environment Sustainability Project (MESp), di sini, semalam.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan program itu.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) membabitkan MSU dengan beberapa badan antaranya Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA), Kelab Warisan Sungai Klang, serta Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA).
Sementara itu, perlantikan rakan strategik MSU pula antaranya membabitkan Markas 11 Briged Infranti, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Taman Botani Shah Alam dan Tourism Selangor.

Hadir sama, Naib Canselor MSU, Professor Puan Sri Datuk Junainah Abd Hamid dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Dato’ Dr Mohd Puat Dahalan.

Program MESp diadakan bersempena dengan sambutan Hari Hutan Sedunia peringkat antarabangsa yang bakal diadakan pada 21 Mac ini.

 


Pengarang :