SELANGOR

Mural 3D guna 20,160 penutup botol

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 29 MAC: Sebanyak 20,160 penutup botol plastik digunakan bagi menghasilkan mural tiga dimensi (3D) di Pusat PJ Eco Recycling Plaza, semalam.

Mural bertemakan imej ikonik pintu gerbang Kota Darul Ehsan, Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Menara Celcom itu dibuat dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Selaras penubuhan PJ Eco Recycling Plaza, projek itu bertujuan mempromosikan seni daripada bahan buangan plastik, sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan penggunaan semula.

Penutup botol itu berjaya dikumpul melalui program pengasingan sampah hasil kerjasama KPT Sdn Bhd dan sumbangan kakitangan.

Membabitkan 120 sukarelawan terdiri daripada penduduk setempat, projek itu diketuai pensyarah Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif UPSI, Profesor Dr Mohd Fauzi Sedon.

“MBPJ setiasa mengalu-alukan kerjasama dari pelbagai pihak bagi meningkatkan penduduk setempat berkaitan 3R (pengurang, guna semula dan kitar semula), pada masa akan datang melalui projek seperti ini.

“Pada masa sama, pihak Majlis turut menerima penyertaan daripada syarikat badan bukan kerajaan sebagai rakan kongsi PJ Eco Recycling Plaza,” kata Pihak Berkuasa Tempatan itu dalam kenyataan.

PJ Eco Mural dirasmikan Datuk Bandar, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

PJ Eco Recycling Plaza adalah projek pertama di Malaysia mempamerkan sisa hasil daripada pengasingan sampah dan mendapat kerjasama sektor korporat seperti F&N, Tetra Pak, Spark Foundation, INTCO dan CH Green.

 

 


Pengarang :