GLOBAL

Netanyahu didesak pembangkang Israel letak jawatan

TEL AVIV, 3 MAC: Kumpulan pembangkang mengadakan perhimpunan di sekitar bandar raya ini, semalam bagi mendesak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meletak jawatan.

Desakan itu dilakukan selepas Peguam Negara itu memaklumkan perancangan pihaknya untuk memfailkan dakwaan rasuah terhadap Netanyahu.

Agnesi berita AFP memaklumkan, perhimpunan itu menyaksikan kumpulan pembangkang mengibarkan bendera Israel termasuk sepanduk tertera tulisan ‘Masa untuk Netanyahu letak jawatan’ dan ‘Menteri Jenayah’.

Bagaimanapun, di kawasan hampir sama, penyokong Netanyahu turut nengadakan perhimpunan sebagai tanda sokongan dengan sepanduk berbunyi ‘Netanyahu, rakyat terus bersama anda’ dan ‘Netanyahu, Perdana Menteri saya’.

Berdasarkan undang-undang Israel, Perdana Menteri tidak diperlukan meletak jawatan kecuali selepas berlaku pendakwaan dan disabitkan dalam kes di mahkamah serta gagal dalam semua rayuan yang biasanya memakan masa panjang.

Netanyahu bertanding untuk penggal kelima pada pilihan raya April ini.

Selepas pengumuman Peguam Negara Khamis lalu, Netanyahu berkata, beliau mahu menjadi Perdana Menteri untuk jangka panjang lagi di sebalik berhadapan dakwaan itu.

Di Ramle, berhampiran Tel Aviv, aktivis Parti Buruh memancarkan mesej besar di tembok penjara Maasiyahu bertulis ‘Netanyahu, Israel memalukan’, kata kenyataan parti pembangkang itu.

Penjara itu menempatkan bekas Perdana Menteri, Ehud Olmert, yang menjalani hukuman kerana rasuah dan bekas Presiden, Moshe Katsav, ekoran merogol dan kesalahan seksual lain.


Pengarang :