EKONOMINASIONAL

Nilai eksport meningkat 3.1 peratus, tertinggi dalam sejarah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 MAC: Malaysia mencatatkan peningkatan nilai eksport 3.1 peratus tahun ke tahun bagi Januari 2019 berjumlah RM85.4 bilion mengatasi tinjauan penganalisis pasaran yang kali ini menjangkakan eksport akan jatuh 0.6 peratus.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah direkodkan itu merupakan nilai tertinggi dalam sejarah negara dan mengatasi rekod terdahulu iaitu RM82.8 Bilion bagi tempoh sama pada 2018.

“Lebihan dagangan negara juga meningkat 19.2 peratus tahun ke tahun kepada RM11.5 Bilion pada bulan yang sama. Lebihan dagangan RM11.5 Bilion ini adalah lebih tinggi daripada konsensus pasaran sebanyak RM9.0 Bilion, walaupun perang dagang antara China dan Amerika Syarikat masih belum diselesaikan.

“Lebihan dagangan yang tinggi ini merupakan permulaan yang baik untuk tahun ini bagi ekonomi negara kerana ia membantu memastikan supaya akaun semasa negara akan terus berada dalam keadaan lebihan bagi melindungi Malaysia daripada ketidaktentuan dunia,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tinjauan penganalisis pasaran yang kali ini menjangkakan eksport akan jatuh 0.6 peratus dengan imbangan dagangan RM9 bilion.

Beliau berkata, pertumbuhan permintaan domestik yang sihat pada Januari membuktikan penurunan Indeks Harga Pengguna (CPI) sebanyak 0.7 peratus tahun ke tahun dalam bulan yang sama bukanlah disebabkan permintaan berkurangan.

“Penurunan CPI pada bulan Januari didorong oleh dasar-dasar Kerajaan iaitu penstabilan harga minyak yang menyalurkan penjimatan diperolehi apabila harga petrol menurun terus kepada pengguna dan pada masa yang sama melindungi mereka semasa harga minyak melambung tinggi melalui penggunaan mekanisme harga siling serta juga penggantian GST dengan SST,” katanya.


Pengarang :