BERITA UTAMASELANGOR

Nilai pelaburan Selangor meningkat 238 peratus pada 2018

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 MAC: Nilai pelaburan di Selangor mencatatkan sejarah baharu apabila berjaya mencatatkan pencapaian tertinggi dalam sejarah dengan peningkatan sebanyak 238 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, nilai pelaburan luar biasa yang dicatatkan pada 2018 berjumlah RM18.947 bilion berbanding 2017 berjumlah RM5.592 bilion.

“Dengan kedudukannya yang strategik dan tersedia prasarana yang baik, Selangor sentiasa menjadi pilihan pelabur-pelabur domestik dan luar negara yang datang untuk menjalankan perniagaan mereka di Selangor, walaupun keadaan ekonomi global pada 2019 diramalkan suram dan angka pertumbuhan ekonomi dunia dijangka akan merosot kepada 3.5 peratus kepada 3.7 peratus pada 2018.

“Beta dimaklumkan bahawa sebanyak 241 projek perkilangan telah diluluskan di negeri Selangor bagi sepanjang tahun 2018, iaitu yang tertinggi di dalam negara, berbanding sebanyak 202 projek perkilangan diluluskan pada 2017,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Ucapan di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua, Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2019 di sini, hari ini.

Titahnya, projek perkilangan yang diluluskan itu berjaya mewujudkan 9,196 peluang pekerajaan kepada rakyat Selangor.

Baginda bertitah, pencapaian ini jelas mencerminkan Negeri Selangor sebagai nadi utama pembangunan ekonomi negara.


Pengarang :