Program Bank Makanan Malaysia memberi manfaat kepada golongan B40. Foto BERNAMA
NASIONAL

Nothern Food Bank mohon sumbangan keperluan asas

KULIM, 31 MAC: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Northern Food Bank (NFB), mengajak orang ramai membuat kebajikan dengan menyumbang keperluan asas untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan di negeri di utara.

Setiausaha NFB, Nor Maznah Baharum berkata pelbagai barangan keperluan terutama makanan kering seperti gula, tepung, beras, minyak, telur serta keperluan bayi seperti susu tepung dan lampin pakai buang sangat diperlukan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

“Bekalan makanan di NFB tidak pernah mencukupi kerana permintaan sangat banyak, kami memerlukan lebih banyak sumbangan makanan kering terutama untuk diagihkan sepanjang bulan puasa nanti,” katanya kepada Bernama di pusat pengumpulan bekalan NFB, di Taman Serai Wangi, di sini.

Beliau berkata NFB juga mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan dari semua negeri-negeri di utara, menyertai pihaknya bagi memudahkan proses pengumpulan maklumat dan pengagihan bekalan makanan.

“Ahli dalam pertubuhan ini ada pelbagai latar belakang dan ada di Pulau Pinang dan Kedah, masing-masing akan menjaga kawasan mereka dan mengumpul sumbangan yang disalurkan pelbagai pihak,” katanya.

Nor Maznah berkata, setiap hari NFB menerima lebih 50 aduan ‘kecemasan’ daripada orang ramai melalui aplikasi WhatsApp, messenger dan panggilan telefon, yang memohon barangan keperluan harian.

“Kami terpaksa tapis dan memilih mereka yang benar-benar memerlukan sahaja sebab bekalan sangat terhad,” katanya yang turut memberitahu setiap aktiviti NFB dimuat naik ke media sosial sebagai dorongan kepada orang ramai untuk sama-sama membuat kebajikan.

Sementara itu, pengusaha katering, Siti Aisyah Johari, 37, berkata inisiatif NFB dilihat sebagai platform bagi memudahkan orang ramai yang ingin menderma kepada golongan kurang berkemampuan.

“Sebelum ini saya banyak lakukan aktiviti kebajikan secara bersendirian, tapi bila ada NGO seperti ini, ia lebih memudahkan saya untuk menguruskan kerja-kerja kebajikan,” katanya. -BERNAMA

 


Pengarang :