NASIONAL

Oil boom diguna sekat, kawal pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim

JOHOR BAHRU, 7 MAC: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor akan menggunakan ‘Oil Boom’ untuk mengawal dan menyekat pencemaran bahan kimia yang dipercayai dibuang ke Sungai Kimkim, Pasir Gudang, dekat sini, daripada terus berleluasa.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, pihaknya mempunyai pelan dan langkah untuk memastikan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, dekat Taman Pasir Putih di sini tidak merebak ke kawasan lain.

Oil boom ialah peralatan khas berupa seperti pelampung yang boleh menyerap dan menyekat pencemaran bahan kimia daripada berleluasa.

“Kita sudah meletakkan oil boom di beberapa kedudukan sungai yang dipercayai terjejas. Fungsinya adalah untuk menyerap bahan kimia sekali gus mengelakkannya daripada merebak.

“Kawasan terjejas adalah membabitkan radius 500 meter daripada sungai yang sepanjang kira-kira 1.5 kilometer ini,” katanya kepada pemberita di pusat operasi pembersihan Sungai Kim Kim di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Yahaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 pagi daripada orang awam yang berada di perumahan berhampiran.

“Kita masih lagi mengenal pasti jenis bahan kimia yang dibuang tetapi percaya ia adalah bahan mudah terbakar. Selain itu, pihak forensik juga sudah mengambil sampel air dan tanah di kawasan ini untuk mengetahui jenis bahan kimia yang dibuang,” katanya.

Katanya, seramai 30 pegawai dan anggota bomba ditugaskan di lokasi berlakunya tumpahan bahan kimia berkenaan.

“Antara yang terbabit dalam misi ini termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Forensik dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat),” kata beliau.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai kes pertama di negeri ini yang membabitkan pembuangan bahan kimia di sungai.

FOTO: BERNAMA


Pengarang :