SELANGOR

Orang awam disaran beri cadangan dalam RT MPK

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 19 MAC: Semua pihak termasuk orang awam disaran mengambil peluang mengemukakan pandangan atau cadangan dalam Rancangan Tempatan (RT) Majlis Perbandaran Klang (MPK) 2035 dalam tempoh sebulan ini.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, ia bagi memastikan penyediaan RT MPK itu menepati kehendak penduduk dan menghasilkan pembangunan mampan serta lestari.

“Penggunaan RT kini bukan hanya di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) malah menjadi keperluan diperingkat agensi teknikal, pihak swasta, individu serta orang awam dalam mendapatkan pandangan maklumat serta data-data perancangan serta pembangunan.

“Justeru, MPK menyasarkan pembabitan 30 peratus daripada jumlah penduduk,” katanya pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan MPK 2035 (Penggantian), di Dewan Hamzah, di sini.

Mohamad Yasid berkata, MPK sentiasa berusaha memastikan program publisiti dan penyertaan awam Draf RT itu mendapat publisiti serta pembabitan awam secara menyeluruh.

“Program publisiti ini bermula hari ini sehingga 18 April di lokasi pameran antaranya lobi utama MPK, Pejabat Tanah dan Daerah, lobi utama PLAN Malaysia, Pusat Pemborong GM Klang, Kompleks membeli belah Klang Parade serta ‘Road Show’,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, penyediaan RT itu sebelum ini sudah disediakan pada April tahun lalu sehingga Disember 2018 iaitu tempoh penyediaan lapan bulan selepas mendapat kelulusan peruntukan.

“Beberapa kajian dan laporan dijalankan termasuk Siri ‘focus Group discussion’ dan ‘town hall’ bagi tujuan pengumpulan maklumat dan semakan data,” katanya.

Terdahulu, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan MPK 2035 (Penggantian).


Pengarang :