GLOBALNASIONAL

Pakistan gagalkan cubaan kapal selam India ke perairannya

ISLAMABAD, 6 MAC: Pakistan menggagalkan percubaan sebuah kapal selam milik Tentera Laut India untuk memasuki perairannya di selatan pesisir negara itu, semalam.

Aagensi berita China Xinhua yang memetik kenyataan media sayap tentera Pakistan, Inter-Services Public Relations melaporkan, kapal selam itu cuba memasuki perairan Pakistan dari Laut Arab, namun disedari kakitangan Tentera Laut Pakistan yang memaksa ia berundur kembali ke perairan India.

Sementaar itu, dalam kenyataan berasingan, jurucakap Tentera Laut Pakistan berkata, kejayaan terbabit adalah bukti kemahiran unggul yang dimiliki tentera laut negara berkenaan.

“Tentera Laut akan terus mempertahan sempadan perairan Pakistan. Pasukan itu memiliki keupayaan untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan,” katanya.

Beliau berkata, Pakistan berpegang teguh kepada dasarnya untuk mengekalkan keamanan dan India juga harus berusaha ke arah itu selepas insiden pencerobohan kapal selam terbabit.

Hubungan Pakistan dan India tegang selepas insiden serangan bunuh diri yang menyasarkan pasukan keselamatan India, di Kashmir dikuasai India, pada 14 Februari lalu.

Tentera kedua-dua pihak turut berbalas tembakan di sepanjang Garisan Kawalan selain terbabit dalam pertempuran udara. -BERNAMA


Pengarang :