BERITA UTAMANASIONAL

Parlimen Malaysia sebulat suara kutuk serangan di Christchurch

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan usul mengutuk serangan di dua masjid, di Christchurch, New Zealand.

Usul tergempar itu dibentangkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat Pakatan Harapan, Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Anwar berkata, fahaman ‘white supremacy’ yang bertapak di Amerika Syarikat (AS) semakin menular ke negara barat lain.

“Mereka melabelkan agama dan bangsa lain itu rendah martabat, rendah budaya dan rendah agama,” katanya.

Anwar berkata, idealogi ‘white supremacy’ itu juga dianuti parti politik di barat dan semakin mendapat dukungan dalam kalangan rakyat biasa.

Usul itu turut dibahas dan disokong Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ahli Parlmen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sementara itu, dipihak kerajaan pula usul itu digulung oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Senator Marzuki Yahya; Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq ketika menggulung perbahasan berkata, kerajaan tidak perlu mengharamkan permainan e-sport, PUBG.

“Lebih sejuta rakyat Malaysia memainkannya tetapi tidak pula mereka melakukan keganasan.

“Saya juga berdoa supaya saya menjadi pemain bola sepak yang hebat di Piala Dunia kerana saya bermain FIFA PES,” katanya.


Pengarang :