NASIONAL

Pasar Jualan Jimat Harapan Rakyat bakal diperluas ke seluruh negara

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Pasar Jualan Jimat Harapan Rakyat yang menawarkan harga barangan runcit lebih murah akan diperluas ke seluruh negara bagi membantu meringankan perbelanjaan masyarakat khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat melalui kerjasama dengan Dewan Perniagaan Jualan Jimat Harapan Rakyat (DPJJHR) yang merupakan penganjur program itu.

“Perbincangan akan kita buat lebih terperinci dengan DPJJHR supaya ia dapat diperluaskan dan kerap diadakan, serta menjadi program berkala setiap bulan.

“Kita akan lihat untuk kawasan luar bandar mungkin keperluannya berbeza tetapi dari segi makanan, ia pasti diperlukan mana-mana rakyat tanpa mengira di bandar atau luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pasar Jimat Harapan Rakyat di Perumahan Awam Seri Perlis 2 Datuk Keramat di sini, hari ini.

Rina yang juga Anggota Parlimen Titiwangsa berkata buat masa ini inisiatif itu sudah dijalankan di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Program Pasar Jimat Harapan Rakyat yang bermula pada tahun lalu adalah inisiatif DPJJHR, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, menawarkan barangan keperluan harian seperti ayam, ikan dan sayur pada harga sehingga 40 peratus lebih murah. -BERNAMA


Pengarang :