NASIONAL

Pegawai kanan FGV direman lima hari

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Pegawai kanan FGV Holdings Berhad (FGV) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan bernilai RM10,000.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek berusia 50 tahun itu direman sehingga Khamis ini.

“Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman membenarkan tempoh tahanan reman terhadap suspek selama lima hari bagi membantu siasatan kes itu,” katanya di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Pegawai kanan itu ditahan di sebuah restoran di Taman Prima Saujana, Kajang dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Individu itu dipercayai menerima bayaran berkenaan sebagai dorongan untuk mengesyorkan perlanjutan kontrak sebuah syarikat perkhidmatan kerja pengauditan persijilan antarabangsa untuk kilang sawit di bawah kelolaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.


Pengarang :