NASIONAL

PEKA gesa undang-undang alam sekitar lebih tegas

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Malaysia menggesa kerajaan mengenakan penaliti lebih berat ke atas mereka yang didapati bersalah atas jenayah alam sekitar.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, ini termasuk meningkatkan tempoh hukuman penjara dan denda dalam undang-undang sedia ada berkaitan alam sekitar.

“Penaliti lima tahun penjara dan denda RM500,000 (misalnya) tidak akan menghalang pencemar. Kerajaan patut mempertimbang hukuman penjara 20 tahun dan denda sekurang-kurangya RM1 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas insiden pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor yang dilapor menyebabkan lebih 2,000 orang dirawat di hospital sementara 111 sekolah ditutup bagi mengelak lebih ramai pelajar terjejas.

Shariffa Sabrina berkata, bagi mengelak perkara sama berulang,langkah pencegahan mesti dilaksana di seluruh negara.

“Meter ujian gas dan pencemaran seharusnya dipasang di semua kawasan perindustrian utama,” katanya.

Beliau turut menyarankan setiap syarikat kimia diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Alam Sekitar untuk memudahkan proses pemantauan.

— BERNAMA


Pengarang :