SELANGOR

Pelajar cemerlang 11 A+ amal baca Yassin selepas Subuh

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 14 MAC: Salah seorang pelajar cemerlang yang mencatatkan keputusan 11 A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, mengamalkan bacaan Yassin setiap hari selepas solat Subuh.

Pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Raudhah Saifulzaman, 18, berkata inisiatif itu diambilnya sendiri bersama dengan rakan yang lain.

“Alhamdulillah, sejak mengamalkan bacaan Yassin, kami berasa lebih tenang ketika belajar dan lebih seronok mengulang kaji pelajaran.

“Sau lagi perkara yang saya boleh kongsikan ialah, walaupun sibuk mengulang kaji pelajaran, saya tetap berusaha memperbanyakkan ibadah,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2018, di KISAS, hari ini.

Bercita-cita menjadi seorang akauntan, Raudhah berkata, perkongsian ilmu bersama rakannya juga menjadi salah satu tips untuk meraih kejayaan.

“Apabila lebih banyak ilmu dikongsi dengan orang lain, saya yakin ilmu sedia ada pada kita akan lebih berkembang,” katanya.

Beliau yang juga anak keenam daripada sembilan adik beradik itu juga menjadikan kakaknya sebagai idola.

“Kakak-kakak saya juga cemerlang dalam pelajaran masing-masing, sehingga kini ada yang belajar di Morocco serta meneruskan pembelajaran dalam bidang syariah.

“Saya berharap kami semua membanggakan kedua ibu bapa dan kejayaan ini akan diteruskan oleh tiga lagi adik saya yang lain,” katanya.


Pengarang :