NASIONAL

Pelaksanaan gaji minimum ikut sektor bukan sekarang

IPOH, 3 MAC: Pelaksanaan gaji minimum mengikut sektor hanya akan dilaksanakan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

Beliau berkata, mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, kajian semula mengenai gaji minimum harus dilakukan setiap dua tahun.

“Banyak orang tidak faham tentang hal gaji, ia ditentukan satu jawatankuasa (Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara), menteri tidak ada kuasa.

“Sebelum pelaksanaan gaji minimum RM1,100 semua aspek perbincangan sudah diadakan tetapi mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 ia akan dikaji semula dan pelaksanaannya bukan sekarang,” katanya, lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan ‘Meet & Session’ di program Satria 4.0 & TVET Seminar 2019 di Institut Perindustrian Ipoh (ILP) Meru, di sini.

Isnin lalu, media melaporkan kerajaan akan mengkaji semula kadar gaji minimum mengikut sektor pekerjaan.

Dalam laporan itu, Kula Segaran dipetik sebagai mengambil contoh kadar gaji minimum di Sabah secara umumnya sebelum ini dinaikkan kepada RM1,100 daripada RM920 yang dilihat menimbulkan rungutan majikan di negeri itu.

Kula Segaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, buat masa ini menjadi satu kesalahan sekiranya mana-mana majikan enggan atau membayar gaji kurang daripada RM1,100.

Pada program dihadiri lebih 300 pelajar itu, Kula Segaran menerangkan bahawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mempunyai peluang pekerjaan cerah pada masa hadapan termasuk dalam bidang perfileman.

“Sebelum ini saya sudah berjumpa dengan pelakon terkenal filem Tamil dari India, Kamal Hassan yang menyatakan kepada saya bahawa India kurang mempunyai pekerja mahir teknikal dalam bidang perfileman.

“Dia menyatakan bahawa mungkin kita boleh mengadakan institusi teknikal untuk mengajar, supaya mereka (penggiat filem India) boleh membuat lebih banyak pengambaran filem di Malaysia,” katanya.


Pengarang :