SELANGOR

Pelaksanaan teknologi ‘Waste-To-Energy’ tepat pada masa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 MAC: Pembangunan sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal dilaksanakan Kerajaan Negeri secara menyeluruh dengan menggunakan teknologi Sisa kepada Tenaga (Waste-To-Energy) adalah tepat pada masanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda berkenan dengan usaha beralih daripada cara konvensional dalam melupuskan sisa pepejal kepada satu sistem pengurusan berteknologi tinggi.

“Hal ini ekoran peningkatan kadar pembuangan sampah yang perlu dilupuskan.

“Peningkatan ini disebabkan pertambahan penduduk dan meningkatnya aktiviti masyarakat, ditambah pula meluasnya penggunaan sisa pepejal seperti plastik, logam, sisa bahan makanan, bahan binaan dan landskap,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) Selangor ke-14, di Bangunan DNS, hari ini.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan menghadiri Istiadat Pembukaan DUN Selangor Penggal Kedua Ke-14 itu.

Pada masa sama, baginda bertitah, Worldwide Holdings Berhad sudah menandatangani perjanjian bagi membangunkan kemudahan Sisa kepada Tenaga terbesar di Malaysia dengan nilai pelaburan berjumlah RM1 bilion.

“Kemudahan ini yang akan dilaksanakan menerusi dua fasa berperingkat dan akan dibina di Jeram, selain mampu meningkatkan kebolehan memproses sisa kepada tenaga dengan lebih efektif.

“Teknologi seumpama ini diharapkan mampu memanfaatkan bahan buangan yang akan dirawat dan dijadikan sumber tenaga bersih yang mesra alam serta tidak menjejaskan kesihatan,” titahnya.


Pengarang :