SELANGOR

Pembabitan semua pihak jayakan pentadbiran negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 MAC: Selangor tidak boleh ditadbir dengan baik jika hanya bergantung kepada keputusan dibuat Pejabat Menteri Besar, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) semata-mata.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sebaliknya ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk memperolehi keputusan dan pelaksanaan terbaik.

“Ini selaras dengan hasrat dan cita-cita Kerajaan Negeri yang inginkan partisipasi atau keterlibatan awam dalam program pembangunan serta pelaksanaannya kerana kita sedar kita tidak boleh mentadbir dengan hanya keputusan dibuat di Shah Alam atau tingkat 21 Bangunan SUK sahaja.

“Sebaliknya, keputusan kerajaan perlu dilaksanakan dengan menyeluruh sama ada oleh penjawat awam mahupun didukung dan disokong oleh pertemuan, saranan atau keterlibatan daripada rakyat atau masyarakat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun RELA Ke-47 Peringkat Negeri Selangor 2019, di Dewan Al-Jazari Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mendapatkan maklum balas rakyat melalui program sukarelawan, aktiviti amal seperti bergotong-royong dan lain-lain program yang dianjurkan.

Amirudin berkata, program gotong-royong misalnya turut membantu Kerajaan Negeri memerangi wabak denggi, di Selangor.

Sementara itu, menyentuh peranan RELA, beliau berkata, pasukan itu mampu menjadi landasan untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri meningkatkan aktiviti sukarelawan dalam kalangan rakyat Selangor.


Pengarang :