Selangorkini
SELANGOR

Pembuangan sisa disyaki bahan kimia dikesan di Sg Klang

SHAH ALAM, 14 MAC: Pembuangan sisa disyaki bahan kimia oleh pihak tidak bertanggungjawab dikesan berlaku di Sungai Klang, hari ini.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Hashim Osman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 6 petang tadi.

“Pihak kami telah ke lokasi kejadian untuk mengenal pasti bahan kimia itu dan mengambil tindakan pencegahan pencemaran.

“Setakat in,i maklumat yang kami peroleh bahan kimia itu dipercayai dibuang ke dalam longkang dan mula mengalir ke dalam Sungai Klang,” katanya ketika dihubungi.

Hashim berkata, siasatan juga sedang dijalankan berhubung keluasan kawasan pencemaran dan akan memaklumkan perkembangan terkini apabila memperoleh maklumat lengkap.

Terdahulu, LUAS memuat naik maklumat dan gambar berkenaan pembuangan sisa disyaki bahan kimia terbabit, di laman sosial Facebook miliknya petang tadi. -BERNAMA


Pengarang :