SELANGOR

Pemenang pingat Sukan Sea bersara selepas 43 tahun bersama MBPJ

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 13 MAC: Selepas 43 tahun berkhidmat sebagai Pembantu Kesihatan Awam, pemenang dua pingat gangsa Sukan Sea 1979 di Jakarta, Meerasha Chinniah, akhirnya meninggalkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan perasaan sedih.

Meerasha yang meraih pingat pada acara lumba jalan kaki berkata, terlalu banyak dikutip beliau sepanjang lima dekad berkhidmat dengan MBPJ.

“Terlalu banyak pengalaman manis dan antara yang tidak dapat dilupakan ialah MBPJ sentiasa memberikan sokongan penuh kepada saya dalam sukan olahraga sehingga saya berjaya ke Sukan Sea dan menang dua pingat gangsa untuk negara.

“Saya juga melalui era MBPJ masih lagi bertaraf majlis, kemudian perbandaran sehingga sekarang bertaraf bandar raya dan saya sempat menyaksikan kemajuan dicapai MBPJ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 dan Meraikan Pesara di 2019 Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Dewan Sivik MBPJ di sini, malam tadi.

Pesara Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPJ yang menabur bakti selama 39 tahun, Low Ching Keat pula berkata, beliau akan merindui kenangan berkhidmat di Pihak Berkuasa Tempatan itu.

“Memang seronok bekerja di sini kerana kita berhadapan dengan penduduk, Ahli Majlis dan ketua di MBPJ tetapi apabila ada persefahaman masalah dapat diselesaikan.

“Walaupun saya akan merindui saat itu tetapi sudah sampai masa untuk saya berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga,” katanya.

Antara kenangan manis beliau adalah kerjasama diberikan penduduk dalam kempen anti denggi sehingga menyebabkan wabak itu di kawasan pentadbiran MBPJ terkawal.

Sementara itu, penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Aiman Firdaus Shamsuri daripada Jabatan Kesihatan Persekitaran pula bersyukur dipilih sebagai salah seorang penerima anugerah berkenaan.

“Paling penting berdisplin, ikut arahan, bekerja keras dan sentiasa bersedia meningkatkan kualiti kerja di MBPJ,” katanya.

Sebelum itu, seramai 160 orang kakitangan MBPJ menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang selain meraikan 22 pesara.


Pengarang :