NASIONAL

Pemilik PPR degil bakal berdepan notis penamatan hak milik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 MAC: Pemilik Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sesuka hati menyewakan kediaman kepada individu lain bakal berdepan notis penamatan milikan rumah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pemilik yang melanggar syarat turut berdepan Akta Akuan Berkanun 1960, serta boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda oleh mahkamah jika didapati bersalah.

Katanya, sehingga kini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima banyak aduan dari orang awam berkenaan isu terbabit.

“Ia sama ada secara penuh (untuk keseluruhan kediaman) atau sebahagian dari kediaman (sewaan bilik).

“Bagi pihak yang melanggar syarat ditetapkan dan dipersetujui ini, satu Notis Penamatan oleh Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan akan diberikan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, amaran sudah diberikan dan tindakan tegas akan diambil oleh KPKT bagi menangani penyalahgunaan PPR, dalam masa terdekat.

Katanya, KPKT turut akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang mengiklankan penjualan atau penyewaan PPR melalui hebahan umum, termasuk melalui portal sewa beli hartanah atau media sosial.

“Maklumat yang sahih dan sah berkenaan penyewaan dan pembelian unit kediaman PPR hanya akan dipaparkan di laman sesawang rasmi Jabatan Perumahan Negara KPKT, http://ehome.kpkt.gov.my,” katanya.


Pengarang :